Tuesday, October 6, 2020

Jari-jemari kembali menemui papan kekunci

Assalamu'alaikum dan hai semua :) Kini saya muncul kembali setelah 9 tahun tanpa sebarang penulisan. Selama 9 tahun lamanya, pelbagai perubahan yang telah berlaku dalam hidup saya. Terlalu banyak untuk diceritakan, dari aspek dakwah, keluarga, teman² dan lain². Dengan izin Allah, sekiranya dikurniakan kelapangan, akan saya kongsikan dari semasa ke semasa. Buat ketika ini, hanya cebisan luahan hati setelah hampir sedekad tidak menulis. Kemungkinan bentuk penulisan saya akan datang, sedikit atau mungkin banyak berubah berikutan pemikiran yang semakin menua, pengalaman² hidup yang dilalui, persekitaran yang berbeza dan sebagainya. Apa pun, ini hanyalah kebarangkalian. Mungkin ia tidak seperti yang dikatakan. Wallahu'alam

Friday, February 11, 2011

Luahan Hati Yang Rindu

Bismillah barakatillah...
Ya Allah, hambaMu yang dhaif ini mohon keampunanMu Ya Allah. Aku tidak sanggup untuk hidup tanpa cinta dan agamaMu. Sesungguhnya hinalah aku tanpanya. Dan aku merayu kepada semua/kalian yang berada di sekelilingku iaitu ummat Muhammad Rasul s.a.w untuk masuk islam secara keseluruhannya. Bukan pada namanya sahaja.

Wahai Yang Maha Agung lagi Maha Mulia, Yang Mentadbir Langit dan Bumi serta Seluruh Alam Raya, Yang Maha Mencipta Cinta Yang Kudus lagi Suci, aku ini hanyalah hambaMu yang tidak mempunyai manfaat kepada sesiapa pun. Malah belum tentu dapat memberi manfaat kepada sesiapa pun. Akan tetapi Ya Allah, Engkau sentiasa menyayangiku melalui ujian-ujian yang Kau kurniakan. Kadang kala aku merasakan berat akan ujian-ujian ini walaupun aku tahu Engkau tidak akan mengurniakan bebanan yang lebih berat dari kemampuan setiap hambaMu.

Ya Allah, hadirlah ke dalam hati ini, hati yang penuh dengan kekotoran, kefasikan, kedengkian, kesombongan, kebodohan, keujuban dan banyak lagi. Ya Razzaq, golongkanlah aku dalam golongan hambaMu yang sedikit iaitu hambaMu yang bersyukur dan bersabar...ameen Ya Rabb.

Friday, April 23, 2010

Wahai Kekasihku

Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim...
aku mohon maaf atas segala kesilapanku Ya Allah,
kesilapan yang telah lalu dan yang akan datang,
Engkau sajalah tempat aku mengadu wahai Kekasihku.

aku rayu padaMu Ya Latif...dengan penuh rasa takut jika Engkau sedikit tidak menghiraukan permintaanku dan penuh rasa mengharap Engkau mendengar segala rintihanku,
aku hambaMu yg keji, hina, zalim, kejam serta jahil lagi sangat memerlukan belas kasihan, kasih sayang, perhatian, pertolongan, perlindungan dan segala-galanya dariMu Ya Rabb.

Ya Rabbi Ya Karim Ya Fattah...
aku lemah dan tiada daya,
tanpaMu aku tidak bererti apa-apa,
malah aku bertambah hina dan hina dan hina lagi.

Ya A'lim Ya Razzaq...tolonglah terima aku kembali,
kembalikan hati dan jiwa ini di sisiMu,
supaya iman sentiasa terpelihara dan khusyuk.

Ya Tawwab...
sekiranya kurangnya aku, Engkau cukupkanlah,
bodohnya aku, Engkau pandaikanlah,
hinanya aku, Engkau muliakanlah,
angkuhnya aku, Engkau tundukkanlah,
bongkaknya aku, Engkau tawadhu'kanlah.

Ya Sattar...
aku sangat mencintaiMu dan RasulMu,
rupanya baru kutahu...
setiap makhlukMu yang kucintai selama ini sebenarnya bukan mereka yang aku cintai tetapi Pencipta mereka yang kucintai...iaitu Engkau wahai Kekasihku...

Friday, October 16, 2009

Ada Apa Dengan Da'wah?

Berkenaan dengan entryku kali ni, dah lama dah sebenarnya nak tulis. Namun kekangan masa yang tak mengizinkan. Alhamdulillah, hari ni inshaAllah adalah masanya, Allah masih memberi peluang kepada ana. Setiap sedutan oksigen-oksigen yang terdapat di sekeliling kita adalah untuk tujuan kita terus bertaubat kepadaNya. Tidak kira yang beriman ataupun tidak, semua dapat. Subhanallah, Allah itu Maha Luas PemberianNya. Da'wah adalah satu perkataan yang tidak asing lagi bagi para du'at. Ia juga merupakan perkara terpenting dan yang paling digemari bagi orang-orang yang meminati dunia tarbiyyah. Kebiasaan yang kita dengar adalah "Ada Apa Dengan Cinta". Dan pada zaman ICT sekarang, remaja lebih dikaitkan dengan Remaja & Cinta, Remaja & Hiburan, Remaja & Lepak, Remaja & Dadah (na'uzubillah) serta banyak lagi perkara-perkara yang berkaitan yang merosakkan nama remaja tu sendiri. Jarang yang didengar tentang Remaja & Da'wah, Remaja & Islam, Remaja & Tarbiyyah dsb. Kenapa remaja yang kukaitkan? Kerana merekalah (ana sendiri) penyambung dunia pimpinan akan datang. Rosak mereka, rosaklah dunia masa hadapan. Jadi kali ni sedikit sebanyak ingin kukongsi dengan kalian, juga ia sebagai peringatan untuk diriku sendiri inshaAllah. Apa itu da'wah? Mengeluarkan manusia daripada penderitaan dan kegelapan kepada kebahagiaan dan cahaya. Kenapa perlu da'wah?
  1. menyelamatkan diri daripada azab Allah swt
  2. menyelamatkan ummah
  3. memenuhi sifat mukmin sejati
  4. membezakan diri dari golongan munafiq
  5. mewarisi jalan Rasulullah saw
Antara dalil wajib da'wah, firman Allah swt yang bermaksud:
  • "Dan hendaklah di antara kamu ada segolongan orang yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh (berbuat) yang makruf dan mencegah dari yang mungkar. Dan mereka itulah orang-orang yang beruntung." Ali 'Imran, 3:104.
  • "Kamu (umat islam) adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, (kerana kamu) menyuruh (berbuat) yang makruf dan mencegah dari yang mungkar dan beriman kepada Allah." Ali 'Imran, 3:110.
  • "Dan (ingatlah) ketika suatu umat di antara mereka berkata, "Mengapa kamu menasihati kaum yang akan dibinasakan atau diazab Allah dengan azab yang sangat keras?" Mereka menjawab, "Agar kami mempunyai alasan (lepas tanggungjawab) kepada tuhanmu, dan agar mereka bertaqwa." Al-A'raf, 7:164.
  • "Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (berbuat) yang makruf dan mencegah dari yang mungkar, melaksanakan solat, menunaikan zakat dan taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka akan diberi rahmat oleh Allah. Sungguh Allah Maha Perkasa, Maha Bijaksana." At-Taubah, 9:71.
  • "Katakanlah (Muhammad), "Inilah jalanku, aku dan orang-orang yang mengikutiku mengajak (kamu) kepada Allah dengan yakin, Mahasuci Allah, dan aku tidak termasuk orang-orang musyrik." Yusuf, 12:108.
  • "Dan siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah dan mengerjakan kebajikan dan berkata, "Sungguh, aku termasuk orang-orang muslim (yang berserah diri)?" Fussilat, 41:33.
Bila dah buat da'wah, niat mesti ikhlas dan mengharapkan keredhaanNya semata dan apabila orang yang diajak (mad'u) lari (tidak mempedulikan kita), mintalah pada Allah untuk diberi kekuatan. Salah satu kelebihan buat da'wah. Allah swt berfirman yang bermaksud: "Katakanlah (Muhammad), "Jika kamu mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mencintaimu dan mengampuni dosa-dosamu." Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang." Ali 'Imran, 3:31. Ingatlah, kita bukan yang memulakan tetapi kita adalah penyambung misi ini (risalah para rasul). Semoga perkongsian yang sedikit ini menguatkan hati kita untuk meneruskan kerja-kerja yang penuh dengan liku-liku kepayahan. Bagi yang belum mula, mudah-mudahan ini membuka hati kita untuk melakukannya dan rasailah nikmatnya apabila telah melihat hasil (ingat, bukan hasil yang dinilai tetapi usaha yang dilakukan) inshaAllah. Nota kaki: Ya Allah, pilihlah kami. Sesungguhnya du'at adalah orang-orang yang Engkau pilih.

Thursday, October 8, 2009

Hati rasa jauh

seminggu dua ni rasa sangat sedih. entah kenapa...setiap perkara yang dilakukan serba x kena. hati ini terasa sangat ingin dekat denganNya namun dalam masa yang sama terasa jauh dari nikmatNya.

apa yang mampu kulakukan adalah ambil wudhu' dan 'luangkan masa' denganNya. barangkali ada kerja-kerja da'wah yang kuabaikan.

pernah aku terbaca nota seorang sahabat. tajuknya 'Penghalang Da'wah':
  1. taubat-kurang
  2. terlalu bermewah dengan perkara harus
  3. terlalu pentingkan perkara dunia-ubatnya zuhud
  4. niat tidak tetap dengan asal tujuan
dah mula dah mood malasku, tiba-tiba je 'on'.

Friday, August 21, 2009

Forgive Me When I Whine

Alhamdulillah, segala puji bagi pemilik hati-hati dan jiwa setiap yang bernyawa yang telah menemukan kembali kita dengan bulan yang penuh berkah lagi mulia (insyaAllah, beberapa jam lagi). Bulan yang ditunggu-tunggu oleh para hambaNya yang mukmin yang rindukan Allah dan RasulNya. Bulan ibadah dan perjuangan yang bakal sarat dengan teladan dan pengajaran ke arah membina dan membentuk keperibadian muslim yang unggul. Di mana syaitan diikat dan dibelenggu, tiada lagi alasan setiap manusia itu berbuat kemungkaran kerana godaannya.

Berkenaan tajuk posting ni, aku amat terkesan dengan lirik sebuah lagu oleh Ahmed Bukhatir 'Forgive me' yang ku download dari blog Ummi Ros yang disayangi. Selama hampir 21 tahun aku hidup, telah banyak dan terlalu banyak nikmat yang Allah subhanahu wa ta'ala kurniakan padaku namun terlalu sedikit aku mensyukurinya. Setiap dari kita sebahagiannya sangat menghargai akan nikmat yang sukar dan payah untuk diperolehi tetapi tidak bagi nikmat yang sedia ada. Malah bagi diri ini lebih dari tu, barangkali ada yang pernah tidak ku syukuri (rasanya bukan barangkali, tetapi memang pernah).

Bahkan tidak cukup dengan apa yang ada, terus minta, minta, minta, minta dan minta. Dan apabila perkara yang diminta tidak termakbul, mulalah berputus asa dan merungut pula tu sedang besarnya pahala ujian yang dianugerahkanNya.

Terasa ingin memutar kembali masa-masa yang lalu untuk dikutip balik nikmat yang tidak disyukuri bagi menggantikannya semula. Semoga hari yang akan tiba beberapa jam lagi ni membuatku lebih insaf dan mampu membuatku untuk istiqamah bermujadah nafs.

A few minutes ago, i've got a sms from my lovely sister, "Salam Ramadhan Al-Mubarak, semoga kita sama-sama memohon keampunan dan keredhaan Allah. Mari ikhlas hati dalam beramal. Mohon maaf atas salah silap - hugs & kisses dari Kak Shee". Sepotong ayat yang mampu memuhasabah diri.


Saturday, August 15, 2009

Mad'u (Orang Yang Diajak)

Setelah 5 bulan menjalani latihan praktikal di sebuah syarikat di Kerteh, Terengganu dan semua report telah pun dihantar, baru sekarang aku mempunyai sedikit waktu untuk menulis. Agak lama menyepi.

Sekarang telah pun memasuki tahun akhir insyaAllah dan kuliah sudah pun seminggu bermula. Sebelum mendaftar masuk untuk semester baru, aku bertekad apabila keadaan mula stabil aku akan menziarahi adik-adik baru semester satu untuk bertanya khabar. Mereka ini adalah mad'u yang perlu dipastikan kelangsungan tarbiyyah/da'wah dan aku rasa bertanggungjawab untuk melaksanakan tugas tersebut.

Hari ini adalah masanya untuk aku memulakan misi menyantuni mereka yang mana, ada dikalangan mereka adalah yang pernah mengikuti usrah ketika di sekolah lagi dan juga pernah menghadiri program-program yang dianjurkan oleh Kelab Remaja JIM (KRJ) Terengganu.

Alhamdulillah, respon mereka positif dan mereka minta agar usrah dimulakan pada bulan Ramadhan nanti kerana salah seorang dari mereka mengatakan belum bersedia untuk memulakannya dalam waktu terdekat ni. Tapi aku agak gementar kerana sudah lama tidak bawa usrah. Semoga Allah memudahkan urusanku. Dan aku amat yakin akan firman Allah s.w.t yang bermaksud, "Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu." (Muhammad:7).

Walaubagaimana pun, sebenarnya Allah tidak memerlukan kita untuk menolong agamaNya akan tetapi kita sendirilah yang memerlukan pertolonganNya bagi mendapat syurga Firdaus yang kekal abadi insyaAllah.

Walau apa pun, i'll refer to my naqibah and she's my inspiration. Jazakillahukhairan kathira ukhti.

Ain: Ya Allah, ikhlaskanlah aku untuk meneruskan perjuangan di jalan dakwahMu ini. Sentiasalah memotivasikan aku dan mengurniakan aku pahala mujahidah. Dan aku tidak mahu menjadi hambaMu yang 'duduk'. Ameen ameen ameen Ya Rabbul'alamin

Monday, June 29, 2009

Belajar untuk menulis

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamu'alaikum warahmatullahiwabarakatuh. Beberapa bulan yang lepas aku mendapat idea untuk menulis tetapi ia bukanlah sebahagian daripada minatku. Namun aku ingin belajar menulis dan ku fikir blog adalah salah satu cara untuk melontarkannya. Ia juga ingin ku jadikan sebahagian daripada alat dakwah...insyaAllah, juga sebagai medan luahan hati. Wallahu'alam.